KETUA Pergerakan Wanita UMNO Senator Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil begitu bersemangat unuk mengarus perdanakan agenda wanita seperti yang dijanjikan semasa bertanding jawatan tersebut pada Mac lalu. Salah satunya adalah meningkatkan penglibatan sekurang-kurangnya 30 peratus Wanita UMNO di peringkat pembuat keputusan dalam parti UMNO induk.
Persoalannya di sini bersediakah pucuk pimpinan UMNO yang diketuai Dato’ Sri Najib Tun Razak mendengar saranan Wanita UMNO ini? Apa yang kita ketahui gerakan memperjuangkan 30 peratus Wanita sebagai pembuat dasar sudah berlagu lama. Ianya pernah berkumandang sebelum Dato’ Seri Dr Siti Zaharah Sulaiman menjadi Ketua Pergerakan Wanita pada tahun 1996. Namun sehingga kini ianya belum berjaya direalisasikan oleh pucuk pimpinan parti.
Tentang 30 peratus Wanita sebagai pembuat dasar dalam kerajaan dan parti pernah saya suarakan kepada bekas Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Sabaruddin Chik pada 1997 antara lain memberikan pandangan, tidak perlu Wanita meletakkan syarat 30 peratus kerana ianya tidak lebih sebagai angka. Kalau tidak diletakkan angka mungkin Wanita akan mendapat lebih dari peratus tersebut. Begitulah kata-kata Sabaruddin Chik.
Pengalaman saya sendiri tidak pernah cuti dari menghadiri Perhimpunan Agung Wanita UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra sejak 1996 lagi mengakui isu 30 peratus Wanita sebagai pembuat dasar dan keputusan boleh dikatakan berkumandang setiap tahun dalam perhimpunan tersebut sehingga perhimpunan terakhir pada Mac lalu. Kalau isu ini tidak dibawa oleh Ketua Wanita sudah tentu akan dicadangkan oleh perwakilan Wanita yang berbahas dalam himpunan tersebut. Apa yang kita nampak isu memperjuangkan 30 peratus Wanita sebagai pembuat dasar dalam kerajaan dan parti mengatasi isu-isu lain yang diperjuangkan dalam pergerakan itu. Kalau boleh diumpamakan, isu memperjuangkan 30 peratus Wanita sebagai pembuat dasar dalam parti dan kerajaan sentiasa basah disebut oleh Tan Sri Aishah Ghani, Tan Sri Rafidah Aziz, Dr Siti Zaharah Suleiman dan terkini, Shahrizat Abd Jalil. Tapi nampaknya matlamat tersebut belum menemui noktahnya jika dilihat senarai yang berada dalam Dewan Undangan Negeri sebanyak 8.0 peratus, Dewan Negara sebanyak 27.3 peratus, Dewan Rakyat sebanyak 10.4 peratus dan cuma 14.7 peratus sebagai menteri dan timbalan menteri.
Jika dinilai kepada senarai tersebut Malaysia jauh ketinggalan untuk mencapai sasaran 30 peratus tersebut jika dibandingkan dengan Singapura yang Ahli Parlimen Wanitanya sebanyak 24.5 peratus. Sekadar menyebut beberapa negara yang jumlah Ahli Parlimennya sudah melebihi tahap 30 peratus seperti Sweden (47.0 peratus), Finland (41.5 peratus), Sepanyol (36.6 peratus) dan Netherlaand (39.3 peratus).
Apabila direnung peratus pencapaian Wanita negara luar dalam membuat keputusan dalam kerajaan lebih tinggi dibandingkan dengan Malaysia maka timbul pertanyaan di sini kenapa dan mengapa Wanita negara ini gagal mencapai tahap 30 peratus tersebut? Adakah kerana Wanita belum mempersiapkan diri mereka atau pucuk pimpinan negara masih menganggap wanita adalah golongan lemah dan tidak mampu menyumbang sesuatu untuk kepentingan negara misalnya. Mungkin Wanita kena mencari puncanya.
Dalam soal ini mungkin kita boleh memberikan sedikit pandangan kenapa Wanita masih gagal mencapai tahap 30 peratus tersebut. Salah satunya, mungkin disebabkan oleh UMNO sendiri yang meminggirkan golongan profesional dan berpendidikan dalam parti itu. Kebanyakan pemimpin yang mengetuai bahagian, Wanita dan Pemuda sendiri sejak berabad adalah golongan tidak berpelajaran semuanya berasaskan pengalaman.Termasuklah Wanita UMNO yang jumlah Exco Wanita berpelajaran tinggi boleh dihitung dengan jari. Malah kebanyakan Ketua-ketua Wanita bahagian sendiri terdiri golongan grassroot atau berpendidikan rendah. Manakala golongan wanita berpendidikan dan profesional lebih selesa berada di luar parti lantaran percaturan politik pergerakan itu yang boleh dikatakan sempit dan nampaknya belum bersedia menerima cerdik pandai memimpin pergerakan itu. Bila ini berlaku kita percaya matlamat memperjuangkan 30 peratus Wanita sebagai pembuat dasar tidak akan kecapaian sehingga bila-bila selagi Wanita tidak membuka pintu kepada wanita profesioal dan berpendidikan memimpin parti itu.
Kalau misalnya timbul idea pucuk pimpinan untuk merealisasikan 30 peratus Wanita sebagai pembuat dasar siapa yang mahu diketengahkan dalam pergerakan itu? Malah kebanyakan Senator wanita sendiri dipilih berdasarkan pengalaman dan penglibatan mereka dalam UMNO dibandingkan dari kalangan cerdik pandai dan profesional. Kita difahamkan jawatan Senator diberikan kepada pemimpin wanita terbabit kerana mengenang jasa dan bakti mereka kepada UMNO. Begitu juga ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) wanita kebanyakannya dipilih bersandarkan pengalaman dan jasa mereka dalam UMNO. Kita berkeyakinan kalau Wanita UMNO berjaya melahirkan dan menerima produk yang baik dalam pergerakan itu nescaya boleh mencapai lebih dari 30 peratus tersebut. Memandangkan situasi dan keadaan sekarang amat payah bagi pucuk pimpinan merealisasikan matlamat tersebut lantaran pergerakan itu masih dipimpin kalangan grassroot. Kecuali sesuatu dilakukan oleh Shahrizat iaitu melahirkan cerdik pandai dalam pergerakan itu atau sudah sampai masanya pergerakan itu membuka pintu seluas-luasnya kepada golongan profesional. Namun seperti biasa di peringkat Wanita bahagian sendiri, siapa agaknya Ketua Wanita bersedia memberikan laluan kepada cerdik pandai dan profesional wanita? Kita mendengar banyak rungutan amat payah dan sukar sekali wanita profesional terutamanya menyertai Wanita UMNO. Sebaliknya ramai wanita profesional lebih selesa berada dalam PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) nampaknya lebih mengalu-alukan golongan tersebut.
Justeru sebelum Wanita UMNO memperjuangkan matlamat 30 peratus sebagai pembuat dasar ada baiknya menyediakan kumpulan tersebut dalam pergerakan itu. Dalam era ini sama ada kita suka atau sebaliknya sudah sampai masanya pergerakan itu dipimpin oleh mereka berpendidikan tinggi. Ini bagi memudahkan urusan pentadbiran sekaligus boleh membawa kepimpinan Wanita ketengah dan ketepi. Sebagai contoh, untuk tugasan sebagai Ahli Parlimen misalnya sudah tentu mahukan calon yang boleh berurusan dengan negara luar. Begitu juga ADUN mewakili penduduk terdiri dari pelbagai latar belakang pendidikan dan suku bangsa sudah tentulah wajib mempunyai latar belakang pendidikan yang setaraf dengannya.
Memandangkan dewasa ini adalah era digital sudah tentulah Ahli Parlimen dan ADUN wanitanya kena mempunyai pengetahuan IT dan mampu bersaing menghadapi cabaran global. Mereka tidak boleh menjadi ADUN dan Ahli Parlimen bersikap kekampungan dan kena tahu tafsiran dunia. Bagaimana pemimpin rakyat tadi mahu mencipta pembangunan yang berdaya saing kalau fikiran mereka bersifat amatur atau kekampungan. Bagaimana idea membangunkan rakyat dapat dicipta kalau Wakil Rakyatnya berada dalam kelompok katak di dalam gelas?
Dewasa ini kita bercakap soal persaingan, soal cabaran global dalam era langit terbuka, tetapi tidak setanding dengan kelayakan wanita yang duduk dalam pergerakan itu. Kalau Najib sendiri misalnya mahu memilih beberapa pemimpin Wanita sebagai menteri sudah tentu akan dipilih di kalangan Exco Wanita terutamanya. Tetapi siapa yang Shahrizat mahu kemukakan? Adakah semua 25 Exco Wanita tadi berpelajaran tinggi itulah menjadi persoalannya. Kalau Najib berhasrat melantik kalangan Senator wanita sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Inddustri misalnya siapa yang boleh diketengahkan?
Sehubungan itu ada baiknya Wanita menyeiringkan antara langkah mengejar matlamat 30 peratus tadi dengan melahirkan produk berkualiti dalam pergerakan itu. Shahrizat sendiri kena memastikan pergerakan itu dipimpin oleh cerdik pandai sebelum memperjuangkan hasrat 30 peratus tersebut. Saya sendiri pernah dimaklumkan oleh Profesor Datuk Dr Ramlah Adam sendiri bagaimana sukarnya beliau mahu menyertai salah satu bahagian Wanita UMNO di negeri Melaka. Penuh dengan ranjau dan duri. Itu tidak termasuk lagi rungutan ramai profesional dan cerdik pandai tidak berjaya membuka pintu besi dalam pergerakan itu. Sedangkan umum mengetahui, dalam soal pelantikan apa sahaja jawatan dalam negara dan kerajaan dipilih di kalangan pemimpin parti. Namun sedihnya, ramai profesional dan cerdik pandai wanita berada di luar parti. Ini yang perlu diberikan perhatian oleh Shahrizat ke arah melahirkan cerdik pandai dalam pergerakan itu. Persoalannya bagaimana?
Bagi merealisasikan maksud tersebut Shahrizat seharusnya melakukan di peringkat pelantikan Exco Wanita, jawatankuasa protokol Wanita pusat dan Ketua Wanita di negeri-negeri di kalangan berpendidikan tinggi . Malah di kementerian Shahrizat sendiri masih dimonopoli golongan lelaki sebagai pegawai khasnya termasuk Setiausaha Politiknya adalah lelaki. Mungkin Shahrizat mempunyai alasannya sendiri tetapi usaha merealisasikan hasrat 30 peratus ini perlu dilakukan oleh pemimpin wanita sendiri. Jika wanita tidak mahu berubah maka selamanya wanita akan berada ditakuk itu.
Sehubungan itu sekadar mencadangkan Wanita UMNO kena menambah satu lagi sekretariat yang khususnya dianggotai oleh cerdik pandai dan profesional wanita. Sekretariat ini akan menjadi badan induk atau kilang melahirkan produk pemimpin pelapis dalam pergerakan itu. Manakala Shahrizat atau Naibnya, Dato’ Kamelia Ibrahim sendiri yang harus mempengerusikan sekretariat ini agar tiada pihak mengambil kesempatan ke atasnya. Penubuhan sekretariat baru ini harus seiring dan sejalan dengan matlamat perjuangan pergerakan itu mendapatkan 30 peratus Wanita sebagai pembuat dasar. Jika ini tidak dilakukan jangan cakap hasrat memperjuangkan 30 peratus Wanita sebagai pembuat dasar kerana sudah tentu tiada siapa yang layak ditonjolkan dalam pergerakan itu.
Ke arah mencapai matlamat 30 peratus itu, Shahrizat turut menasihatkan Wanita agar mempersiapkan diri dengan kebolehan, kepakaran dan kemahiran lainnya. Hasrat itu juga tidak akan kecapaian kalau Shahrizat sendiri tidak mewujudkan panel pamantauan ke arah maksud tersebut. Maknanya , jika dikaji kepada sikap dan pendekatan politik Wanita sejak zaman kepimpinan Aishah Ghani sehingga Shahrizat masih kekal dengan adu domba dan jatuh menjatuhkan. Sebagai contoh, kita difahamkan Mesyuarat Wanita UMNO Perak yang diketuai oleh Datuk Rusnah Kassim tanpa dihadiri bekas Ketua Wanita negeri ini Dato’ Siti Salmah Mat Jusak. Bagaimana Wanita mahu bersatu dari segi perubahan kalau sesama mereka masih berhasad dengki atau tidak mahu sokong menyokong. Umpamanya Siti Salmah kalau zaman kepimpinannya mendapat kerjasama Rusnah Kassim kini beliau pula kena memberikan kerjasama kepada kepimpinan baru pergerakan itu di negeri ini. Contohilah Dato’Ainon Khairiyah Dato’ Mohd Abas dan Dato’ Khamsiyah Yeop sentiasa bersikap profesional dan memberikan kerjasama kepada Ketua Wanita negeri Perak. Malah boleh dianggap Ainon dan Khamsiyah adalah pejuang tulen pergerakan itu yang perlu dicontohi sikap dan pendekatan politik mereka oleh generasi wanita muda.
Hakikat yang nyata, segala perubahan tidak akan tercapai kalau Wanita sendiri tidak mahu berubah dari segi sikap, tanggungjawab dalam melaksanakan amanah yang diberikan. Perubahan juga tidak akan tercapai kalau sesetengah pemimpin Wanita masih lagi mengamalkan budaya meminta-minta dan mengharapkan imbuhan dalam setiap tugas yang dilaksanakan. Perubahan hanya mampu digapai jika Wanita mengamalkan politik yang sihat dan senada dalam memperjuangkan isu-isu pembelaan golongan itu. Jika Ketua Wanita Negeri pun kita tidak menyokong bagaimana mahu bercakap soal perubahan atau isu global?
Sudah tentu seorang pemimpin yang baik akan terus menyumbang kepada partinya dan bukan kepada individu tertentu. Justeru Wanita kena tinggalkan politik zaman Pak Kaduk dan tonjolkan kewibawaan pergerakan itu dengan produk kepimpinan yang mampu membawa kecemerlangan kepada agama, bangsa dan negara. Pendekata apalah ertinya Wanita UMNO mempunyai keahlian sebanyak 1.35 juta kalau produknya tidak bermutu. Kekuatan Wanita UMNO bukan kerana faktor angka tetapi oleh perpaduannya. Bagaimana Wanita mahu bersatu kalau misalnya Mesyuarat Exco pergerakan itu sendiri tidak dihadiri oleh Datin Paduka Seripah Noli yang juga rakan sekutu bekas Ketua Wanita Rafidah Aziz. Malah Rafidah sendiri sebagai wanita tidak mahu terbabit dalam pergerakan itu meskipun Shahrizat menghulurkan salam perpaduan. Akhirnya bagaimana matlamat 1Wanita akan tercapai jika perjuangan kita tidak diisi dengan iman dan taqwa jelas membawa keberkatan dalam perjuangan kita.
No comments:
Post a Comment