Friday, April 05, 2013

Happy 7th Birthday To My Little Angel - Sengzi!

No matter how many Birthdays come and go, you will always be my little angel. Happy Birthday my boy!


Tuesday, April 02, 2013

Kenyataan Akhbar SetPol MB Selangor Faekah Husin Pada 2hb April 2013 - Kesediaan Wan Azizah Bertanding Di Selangor Menambah Kecelaruan UMNO



KENYATAAN AKHBAR
2 APRIL 2013


KESEDIAAN WAN AZIZAH BERTANDING DI SELANGOR MENAMBAH KECELARUAN UMNO



Tindakan UMNO terutamanya Dato’ Seri Noh Omar melalak apabila mengetahui Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mahu menawarkan diri untuk bertanding di Selangor memang sudah dijangka.  Begitupun, saya tidak menyangka kerisauan Noh telah menjadikan beliau mengeluarkan pandangan bercanggah dan mengelirukan. Sekejap beliau berkata Wan Azizah ditolak negeri sendiri, selepas itu pula berkata Keadilan Selangor terpaksa menggunakan kekuatan Wan Azizah untuk hadapi PRU13. Nampaknya secara tidak langsung Noh mengakui nama  Wan Azizah digeruni Umno Selangor.

Noh sepatutnya lebih risau akan kedudukan dirinya daripada sibuk dengan calon-calon Pakatan Rakyat. Noh sepatutnya lebih risau tentang kedudukan beliau sama ada akan tersenarai sebagai calon mahupun tidak. Meskipun beliau Timbalan Pengerusi Barisan Nasional Selangor namun beliau tidak dilantik sebagai Timbalan Pengarah Pilihanraya BN tetapi Dato’ Seri  Najib Razak  melantik Dato’ Seri Md Zin Mohamed sebagai Timbalannya. Angin kuat menyatakan Noh akan tersingkir kali ini kerana banyaknya onar yang dilakukan hingga keluhan para petani miskin sukar untuk disembunyikan lagi. Bagi menutup semua kelemahan diri, Noh menumpukan serangan kepada Wan Azizah, satu perbuatan bacul yang dilakukan seorang Menteri.

Malah Najib juga terpaksa mengambil keputusan untuk menjadi Pengerusi UMNO/ BN Selangor dan melantik dirinya sebagai Pengarah Pilihan Raya Selangor. Ini membuktikan krisis kepimpinan UMNO Selangor antara Noh atau  Mohd Zin dan Dr Khir Toyo tidak menemui jalan penyelesaian. Dengan krisis yang semakin menonjol ini nampaknyaNajib juga semakin tidak yakin dengan kemampuan pemimpin UMNO Selangor menghadapi PRU13. Tambahan pula dengan ketandusan pemimpin di Selangor hasil dari sikap cantas mencantas yang begitu ketara di dalam Umno. Kini, kehadiran  Wan Azizah di dalam arena politik Selangor telah menambah celaru kepimpinan Umno Selangor.

Kenyataan Noh bahawa kononnya Wan Azizah lari kerana tidak mendapat kepercayaan di negeri sendiri adalah kenyataan panik, hentam keromo tanpa usul periksa. Malang sekali ianya dikeluarkan oleh seorang Menteri dan Timbalan Pengerusi BN Selangor. Wan Azizah memenangi kerusi Permatang Pauh dengan majoriti 13,398 undi pada 2008. Wan Azizah mengambil keputusan meletakkan jawatan untuk memberi laluan kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim.  Anwar telah memenangi kerusi Permatang Pauh tersebut dengan bergaya apabila memperolehi majoriti 15,671 undi. Jelas mereka bukan ditolak oleh penduduk sendiri seperti kenyataan bodoh Noh Omar.

Berpindah kawasan adalah perkara biasa dan merupakan strategi politik bagi setiap parti. Ia melambangkan keberanian seseorang pemimpin untuk keluar dari zon selamat dengan tujuan mengembangkan pengaruh parti. Tidak seperti pemimpin berjiwa kecil seperti Noh yang memilih zon selamat seperti Tanjung Karang, pengundi majoriti Melayu dan tidak berani bertanding di kawasan bandar dengan porla penduduk bercampur.

Harus diingat bagaimana PRU12 telah ditetapkan hanya beberapa bulan sebelum Anwar layak bertanding. Tun Abdullah Ahmad Badawi yang pada ketika itu Perdana Menteri Malaysia sengaja mahu menghalang Anwar dari bertanding kerana halangan perundangan. Maka  Wan Azizah telah mengosongkan kerusi Permatang Pauh yang dimenanginya pada PRU12 bagi memberi ruang kepada Anwar. Akibatnya Wan Azizah terhalang dari bertanding kerusi Parlimen pada PRU-13 ini dan hanya boleh bertanding di kerusi DUN. Tekanan politik yang dilakukan Umno serba sedikit telah mempengaruhi corak organisasi dalam Keadilan. Ramai teman-teman saya mengeluh dengan keputusan Wan Azizah ini, namun saya memujuk mereka dan diri saya sendiri, apa yang dilakukan ini adalah yang terbaik untuk perjuangan dan hanya Wan Azizah yang mampu melakukannya. Hanya manusia yang mempunyai kekuatan dalaman yang kuat akan mampu melakukan seperti yang dilakukan Wan Azizah.


Tekanan tidak berhenti di situ. Kini wujud pula tuduhan kononnya politik Keadilan adalah politik keluarga ataupun sebuah dinasti. Noh Omar nampaknya tidak melihat sejarah dengan hati terbuka.  Wan Azizah lahir ke dunia politik secara rela-paksa dengan penentuan keadaan bagi membela suami dan keluarga yang teraniaya. Manakala Nurul Izzah yang ketika itu berusia 18 tahun terpaksa mengorbankan usia remaja dan mudanya membela ayah dan ibu yang tersiksa kerana politik kotor dan jijik Umno. Kemasukan mereka ke dalam politik bukan kerana merebutkan kedudukan di dalam parti mahu pun kerajaan. Keadaan mereka tidak sama dengan kedudukan di antara Tun Abdul Razak dengan Najib. Bukan juga seperti Tun Hussien dan Dato’ Seri Hishamuddin malah jauh sekali dengan kedudukan antara Tun Dr Mahathir Mohamed dengan Mokhzani serta Mukhriz.

Noh Omar dan mana-mana orang Umno hatta orang-orang Keadilan sekalipun jangan sekali-kali menyamakan  kedudukan politik tiga beranak ini dengan politik anak beranak yang wujud di dalam Umno mahupun di dalam BN. Politik Keadilan adalah politik perjuangan yang telah memaksa tiga beranak ini tampil memimpin rakyat dengan segala daya dan kemampuan mereka. Keadilan pada ketika itu tidak memberi sebarang pilihan kepada mereka. Tidak seperti politik Umno yang telah memerintah selama 55 tahun. Meletakkan anak beranak di dalam kedudukan parti adalah bertujuan menyerahkan tampuk pemerintahan sebagai warisan.    

UMNO melalak walaupun  Anwar dan Wan Azizah belum menyatakan dengan jelas untuk bertanding di Selangor. Melihat telatah mereka yang terus melatah ini, memberi keyakinan yang mendalam bahawa sebenarnya mereka tidak yakin untuk menang di Selangor walaupun Najib mengetuai jentera Pilihan Raya BN Selangor. Telatah mereka juga menguatkan kepercayaan kita bahawa Wan Azizah bakal memberi saingan hebat di Selangor. Buat Wan Azizah, kecil tapak tangan, nyiru Selangor tadahkan.. 

FAEKAH HUSIN
SETIAUSAHA POLITIK
KEPADA MENTERI BESAR SELANGOR