Tuesday, May 10, 2011
"Selamatkan Kuantan demi generasi akan datang!"
Merdeka Review
Chan Wei See, Wong Swee Nee | May 09, 2011 12:24:28 pm
Kira-kira 800 orang berhimpun di pantai Teluk Cempedak, Kuantan untuk menyatakan bantahan terhadap pembinaan loji pemprosesan nadir bumi (rare earth) oleh syarikat Lynas di Gebeng, semalam. Ramai ibu yang mengambil berat kesihatan anak-anak mereka tampil untuk menyatakan pendirian, sempena Hari Ibu semalam.
Perhimpunan membantah pembinaan loji pemprosesan nadir bumi ini diseru dalam laman sosial Facebook, dan disahut oleh orang ramai, yang membawa keluarganya ke situ mulai jam 5 petang.
Pada kira-kira jam 7 petang, Ketua Polis Daerah Kuantan ACP, Mohd Jasmani Yusof meminta agar orang ramai bersurai. Ahli parlimen Kuantan, Fuziah Salleh tampil untuk berunding dengan polis, dan akhirnya polis bersetuju bahawa ia adalah perhimpunan aman, lantas hanya memantaunya dari tepi tanpa mengganggu kegiatan mereka.
Pada kira-kira jam 8.15 malam, ibu-ibu mulai menyalakan lilin di tepi pantai bersama anak-anak mereka. Mereka membawa sepanduk yang menulis, "Selamatkan Kuantan! Bantah nadir bumi! Menentang ancaman awam dan selamatkan tanahair kita!"; malah melaungkan slogan "Lynas, berambus ke Australia! Kuantan tak mahu radioaktif!"
Turut hadir dalam perhimpunan semalam termasuklah Naib Presiden PKR, Tian Chua, Pengerusi "Selamatkan Malaysia, Hentikan Lynas" Vincent Jiam, Naib Ketua PKR Cabang Indera Mahkota Lee Chean Chung dan lain-lain.
Ketika ditemuramah MerdekaReview, ibu-ibu dari pelbagai keturunan kaum menyatakan hasrat mereka yang sama, iaitu mereka menyertai perhimpunan ini demi keselamatan dan kesihatan generasi yang akan datang. Malah, Sita Runisah, 38, yang datang dari Balok bersama suami dan dua orang anaknya berkata, "Kami sebagai ibu selama ini mengambil berat anak kami, kami rela mati untuk anak kami!"
Malah tidak kurang juga yang menyatakan bahawa mereka berharap agak tragedi Bukit Merah tidak berulang.
Baca: Sisa radioaktif masih bertaburan di Bukit Merah
*Chan Wei See ialah Pemangku Ketua Pengarang MerdekaReview, Wong Swee Nee ialah wartawan khas MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Disedut dan diterjemah dari teks asal.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment